Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Agong bertitah syukuri nikmat kebebasan beragama dan ambil iktibar musibah di Palestin

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat ambil iktibar dan pengajaran daripada musibah Palestin yang ditindas rejim Israel terutama daripada aspek kebebasan beragama.

Seri Paduka bertitah bahawa keadaan di negara ini jauh beza dengan umat Islam di bumi Palestin apabila rejim Zionis dengan tanpa rasa bersalah melakukan serangan terkutuk ke atas Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam beribadat di bulan Ramadan.

Baginda bertitah kepada rakyat untuk bersyukur kerana semua bangsa dan agama di negara ini bebas untuk beribadat serta menyambut ketibaan hari kebesaran masing-masing dengan kegembiraan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. – FOTO: Istana Negara/ Facebook

“Merentasi pelbagai sempadan dan perbezaan, rakyat Malaysia meraikan kedatangan hari kebesaran pelbagai agama dengan penuh keharmonian serta saling menziarahi.

“Rakyat Malaysia juga boleh meneruskan kehidupan seharian dengan penuh rasa toleransi dan dengan tanpa wujud jurang perbezaan antara bangsa dan agama.

“Ia adalah anugerah dan nikmat yang tiada bandingannya daripada Allah SWT,” titah baginda dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio malam ini.

Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah agar semua rakyat menanam iltizam untuk terus bersatu padu dan menjaga fitrah keamanan serta kedamaian di negara tercinta ini.

“Marilah kita membentuk dan sebatikan dalam setiap sanubari, jiwa serta raga untuk menjunjung kesetiaan kepada raja dan negara sebagai landasan pencetus perpaduan yang utuh untuk dijadikan bekalan bagi membentuk masa depan negara yang gemilang,” titah baginda.

Baginda turut menasihati mereka yang memandu untuk pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi undang-undang untuk sampai ke destinasi bagi meraikan Aidilfitri bersama insan tersayang.

Mengakhiri titah, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada agar sentiasa dilindungi serta dirahmati Allah SWT. – BERNAMA

Loading...
Terkini