comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong berkenan santuni 282 bakal jemaah haji

FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji negara, buat pertama kalinya sejak dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Turut berangkat mengiringi baginda ke majlis itu, anakanda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

FOTO: NSTP

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kompleks Haji Sepang, Movenpick di sini pada 10 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Ibrahim turut berkenan beramah mesra bersama 282 bakal haji daripada kumpulan penerbangan ke-55 (KT55) yang dijadualkan berlepas hari ini.

FOTO: NSTP

Kesemua mereka dijadual berlepas pada jam 1.30 tengah hari ke Jeddah dengan menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH8122) dan dijangka tiba pada jam 5.25 petang waktu Arab Saudi.

Ketika menyampaikan ucapan sembah, Datuk Dr Mohd Naim mengingatkan para jemaah agar menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang di Tanah Suci.

“Para jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan supaya mudah dikenalpasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Sejak 9 Mei, lebih 16,000 jemaah haji Malaysia sudah selamat tiba di Tanah Suci Madinah dan Makkah, menerusi 100 penerbangan khas bagi musim haji 1445H/2024M, dengan penerbangan akhir dijadualkan pada 9 Jun 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini