KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Laut ke-19 Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Zulhelmy mendahului senarai 100 penerima pingat bagi lima Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2024 sesi pertama yang berlangsung di Balairung, Seri Istana Negara.
Istiadat itu dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 dan bertujuan menghargai pegawai dan lain-lain pangkat ATM yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM.
Turut berangkat pada istiadat tersebut adalah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selain dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman serta Panglima-Panglima Perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan 100 pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2024. pic.twitter.com/Hh7OVn27Aj
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 29, 2024
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) Datuk Seri Pahlawan Mohammad Sharif Datuk Paduka Ibrahim.
Seramai 18 penerima dikurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), manakala 35 penerima menerima Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), 25 penerima menerima Kesatria Angkatan Tentera (KAT), dan 20 menerima Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Penganugerahan Pingat DKAT berlangsung dalam dua sesi pengurniaan, dengan jumlah keseluruhan penerima sebanyak 353 orang.
Sesi kedua penganugerahan Pingat DKAT dijadualkan akan disempurnakan oleh Mohamed Khaled pada 25 November di Wisma Perwira ATM, melibatkan seramai 253 penerima.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.