KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.
Menurut Istana Negara, sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Seri Paduka Baginda, kerana ianya adalah kali terakhir sebelum Al Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan.
“Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia.
“Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama adalah pada 13 Februari 2019. Turut hadir pada sesi hari ini, Ketua Setiausaha Negara YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali,” katanya dalam Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.
Menurut Istana Negara, mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkaitan urusan dan isu berkaitan kerajaan.
Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.