KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri Keluarga Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP), di sini.
Baginda yang tiba jam 11.00 pagi itu berkenan menyantuni lebih 1,000 anak Pahang yang menetap di sekitar Lembah Klang.
”Kesudian keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PEKAP pada tahun terakhir penggal pemerintahan Baginda Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 amatlah ahli-ahli PEKAP nantikan.”
“Kami anak-anak Pahang di Ibu Kota menjunjung kasih dan merafak sembah kepada Duli Tuanku atas perkenan Tuanku ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.” kata Yang diPertua PEKAP, Datuk Ab. Rahim Abu Bakar.
Majlis sambutan itu bertujuan meraikan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan anak Pahang di perantauan.
Turut hadir, Tun Khalil Yaakob dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.