Oleh Fazli Ahmad
KUANTAN: Kemeriahan tiga Syawal diteruskan dengan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.
Tidak terkecuali, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Abdulaziz, di Indera Mahkota di sini hari ini.
Turut berangkat ke rumah terbuka itu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis yang bermula jam 11 pagi dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Pahang dan ribuan rakyat pelbagai kaum.
Tengku Hassanal berkenan menyantuni tetamu dan merakam gambar kenangan bersama orang ramai.
Antara juadah tradisi Aidilfitri yang disajikan termasuk Laksa Pahang dan paling istimewa pelbagai biskut raya resipi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.