Tumpuan :
Nasional

Agensi, kementerian, diminta kemuka cadangan tambah baik subsidi diesel

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Semua agensi yang terbabit dengan pengurusan pemberian subsidi bahan api diesel diminta untuk tampil dengan cadangan penambahbaikan kaedah penyaluran subsidi itu bagi mengelakan berlaku ketirisan.

Cadangan itu bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapatkan maklum balas yang boleh digunakan sama ada melibatkan aspek penguatkuasaan dan penyalururan subsidi bahan berkenaan.

 

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemberian subsidi bahan api diesel dilaksanakan menerusi Skim Kawalan Diesel bersubsidi yang hanya melibatkan syarikat-syarikat pengendali logistik dan pengangkutan.

“Kita (KPDN) telah meminta semua agensi-agensi ataupun kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor-sektor tersebut untuk mengemukakan apakah syor penambahbaikan bagi pemberian subsidi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan  Barangan Kawalan  di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusuf di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Armizan berkata, Skim terbabit tidak mengendalikan penyaluran subsidi bagi kegunaan sektor perladangan yang memperoleh sumber bahan api daripada sumber ketiga.

Keadaan itu sekaligus membuka risiko berlaku penyelewengan dan ketirisan bahan api itu oleh pengusaha ladang terutamanya yang berdekatan dengan kawasan sempadan.

“Sekiranya ada kes yang melibatkan apa yang disebut melibatkan pengusaha ladang kelapa sawit, kita akan mendapatkan syor dan juga cadangan daripaada Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya kita dapat melihat daripada semua perspektif termasuklah rayuan daripada mana-mana pengusaha.

Mereka kena berbincang dengan agensi kawal selia masing-masing untuk diangkat ke pertimbangan jawatankuasa rayuan,” katanya.

Menurut Armizan, bagi tempoh April hingga Oktober lalu, sebanyak 575.3 juta liter diesel dibekalkan kepada Sabah, manakala 739.7 juta liter kepada Sarawak dan 1.09 juta liter lagi dibekalkan kepada Labuan.

Jelasnya, tahun lalu kerajaan membelanjakan sebanyak RM3.6 bilion bagi melaksanakan pemberian subsidi bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM300 juta adalah untuk pelaksanaan pemberian subsidi bahan api diesel untuk golongan nelayan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini