Tumpuan :
Nasional

Agenda utama Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam memperkasakan Parlimen

KUALA LUMPUR: Cadangan melaksanakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan menaik taraf Jawatankuasa Pilihan Khas bagi memperkasakan Parlimen, menjadi antara agenda utama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Johari yang dipilih memegang jawatan itu pada 19 Disember tahun lalu berkata, beliau bersama-sama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, telah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memohon pertimbangan kerajaan untuk mengembalikan akta berkenaan.

“Perdana Menteri sendiri memberikan sokongan mengenai perkara ini. Draf (rang undang-undang) dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan sudah respons. Seterusnya, kita telah hantar kepada Jabatan Perdana Menteri untuk diteliti dan diperhalusi dari semua aspek termasuk kewangan, perundangan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992. Akta itu membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, melaksanakan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya,

Dalam pada itu, Johari yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen selama kira-kira 15 tahun juga mahu memperkasakan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam membantu memperkukuh peranan kementerian.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu boleh mengetengahkan cadangan serta laporan untuk proses semak imbang dan menangani isu yang timbul di kementerian terbabit.

“Cadangan ini penting kerana mungkin menteri atau kementerian terlepas pandang tetapi jawatankuasa ini mengadakan perbincangan, mengetengahkan cadangan serta menyediakan laporan dan boleh dibahaskan,” katanya.

Selain itu, Johari berkata, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 juga diharap dapat ditambah baik, termasuk kadar denda maksimum RM1,000 dinaikkan kepada RM10,000 ke atas wakil rakyat yang melanggar peraturan ditetapkan, bagi mewujudkan Parlimen kelas pertama.

Bawah akta itu, katanya, kadar denda sedia ada dikenakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina, selain boleh digantung daripada Parlimen.

Sementara itu, beliau berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 dijadualkan bermula 13 Februari ini, dengan istiadat pembukaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum sesi perbahasan Titah Diraja selama lima hari.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja secara aktif dengan tidak mempolitikkan titah Tuanku kerana titah Tuanku adalah hala tuju negara, justeru seharusnya kita menyumbang kepada perjalanan (negara) dan bukan mempolitikkan suasana,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Berhubung kehadiran Ahli Parlimen ke persidangan Dewan Rakyat pula, Johari mengingatkan wakil rakyat supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan membabitkan diri dalam perbincangan berhubung isu rakyat dan negara.

“Bagi saya, apabila kamu dibayar elaun atau gaji tetapi kamu tidak hadir (persidangan Parlimen), itu (maksudnya) makan duit haram,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bakal berlangsung selama 29 hari hingga 30 Mac depan. – BERNAMA

Loading...
Terkini