Tumpuan :
Nasional

Agenda perangi rasuah PM tidak disenangi 

KUALA LUMPUR: Agenda reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama tindakan tegasnya mahu menghapuskan rasuah tidak disenangi beberapa pihak sehingga timbul ugutan kumpulan tertentu mahu menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata ini kerana tidak ada mana-mana pentadbiran sebelum Kerajaan Perpaduan yang kini yang lebih komited terhadap menghapuskan rasuah.

“Terdapat pihak tidak senang dengan agenda reformasi Perdana Menteri, sebab selama ini mereka bermanfaat daripada kelemahan institusi dan budaya rasuah yang sudah menjadi kebiasaan.

Mereka bimbang ‘gravy train’ yang dinikmati selama ini akan berhenti.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

“Justeru itu, mereka melontar tohmahan yang Perdana Menteri menggunakan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membalas dendam dan menyerang musuh musuh politik,” katanya dihubungi hari ini.

Katanya, tohmahan sedemikian jelas meleset memandangkan kebebasan institusi seperti SPRM adalah antara tunjang agenda reformasi yang diperjuangkan selama lebih dua dekad oleh Anwar.

“Kehidupan Perdana Menteri dan keluarga secara sederhana juga secara tidak langsung mengeluhkan pengkritik beliau.

“Kita perlu sedar antara sebab kegawatan ekonomi yang dialami sekarang disebabkan rasuah yang berleluasa dan agenda anti rasuah yang komited adalah perlu untuk menyelamatkan negara dan generasi akan datang daripada kecelakaan,” katanya.

Justeru, katanya, demi masa depan negara rakyat perlu memastikan pihak yang sudah membenarkan rasuah berleluasa atau bersabit dalam rasuah tidak diberi peluang untuk kembali mentadbir.

Anwar ketika berucap pada majlis kenduri korban di luar pekarangan Masjid Jamek An Nur Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam memberitahu menerima pelbagai ugutan daripada ‘geng kaya’ yang sedang berpakat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Tanpa mendedahkan secara terperinci siapa dimaksudkan dengan ‘geng kaya’ itu, Perdana Menteri berkata, beliau bagaimanapun tidak terkesan dengan ugutan itu dan akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.

Loading...
Terkini