Tumpuan :
Nasional

Afdlin Shauki nafi tuduhan salah laku projek DBKL

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Afdlin melalui hantaran di Instagram (IG) memberitahu, isu dimainkan adalah agenda yang sengaja dilakukan untuk memburukkan namanya.

“Baru-baru ini, tular hantaran dalam Telegram yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan satu projek di bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek ini.

“Untuk perhatian saudara saudari sekalian, ini adalah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya.

“Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam tidak bertempat,” tulis Afdlin.

Afdlin berkata, dia sudah membuat laporan polis terhadap fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya juga sudah membuat laporan polis, hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan. Saya difahamkan, perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL.

“Oleh itu, saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Afdlin memaklumkan, dia bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan berhubung salah laku itu.

Semalam, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.

Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, semalam.

Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini