KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memantau rapat insiden pergaduhan antara penyokong Thailand dan Malaysia yang tercetus selepas aksi kedua-dua pasukan berakhir di Stadium Rajamangala, di Bangkok, malam tadi.
Dalam aksi Kumpulan A Piala Asean itu, skuad Gajah Perang menang tipis 0-1 ke atas skuad Harimau Malaya menerusi jaringan tunggal Patrik Gustavsson di babak kedua.
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, saingan ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara itu adalah di bawah kelolaan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dan bukan pihaknya.
Namun, beliau berharap agar insiden pergaduhan babitkan penyokong agar dapat ditangani sebaiknya supaya tidak berulang.
“Ini perlawanan (Piala Asean) di bawah AFF bukan AFC. Saya tak tengok laporan, tak boleh nak komen lanjut. Harap tidak berulang lagi,” katanya kepada Arena Metro.
Terdahulu, dilaporkan penyokong bola sepak Malaysia diserang dan mengalami kecederaan selepas diserang segelintir penyokong Thailand.
Menurut laporan media Thailand, sekumpulan penyokong Thailand yang dikenali sebagai golongan “casual” dan hooligans menyerang penyokong negara ketika mahu meninggalkan venue perlawanan.
Sekurang-kurangnya tiga individu dikejarkan ke hospital dengan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengesahkan seorang penyokong Malaysia yang mengalami kecederaan di bawa ke Hospital Samitivej Srinakarin untuk menerima rawatan.
Malah, pihak FAT turut menanggung kos rawatan termasuk menjalankan imbasan CT (CT Scan) ke atas bahagian kepala bagi mendapatkan keputusan yang lebih terperinci.
Difahamkan pergaduhan itu tercetus ekoran provokasi dilakukan penyokong tuan rumah hingga membawa kepada insiden tidak diingini itu.
Bagaimanapun, situasi itu dapat dikawal apabila pihak berkuasa Thailand menutup pintu keluar bagi penyokong Malaysia dan diarahkan menunggu sehingga keadaan di luar venue itu terkawal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.