ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Johor, Puad Zarkashi pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.
Majlis disaksikan Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi serta ADUN lain.
Terdahulu, Mohd Puad yang juga ADUN Rengit merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub atas pemergian beliau pada 23 Julai lalu.
“Sama-samalah kita doakan beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Bagi yang beragama Islam marilah kita sama-sama membaca al-Fatihah dan bagi mereka yang bukan beragama Islam, berdiri bertafakur selama satu minit,” kata beliau ketika berucap sebelum persidangan bermula.
Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat dan Nazri, atas kejayaan masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September lalu.
Nazri, 56, memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, S Jeganathan.