Oleh: Kumaran Rajamoney
SIK: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Belantik, Datuk Mohd Isa Shafie dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Al-Badru, Kampung Jering, di sini tengahari tadi.
Jenazah terdahulu disolatkan di kediamannya di Kampung Jelutong, dengan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Toh Puan Jusmalailani Jusoh.
Anak Allahyarham, Muniratul Akmar, 44 berkata kesihatan bapanya mula merosot sekitar 1.30 petang, selepas 40 hari mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
“Ahli keluarga dimaklumkan untuk menziarahi Allahyarham. Alhamdudillah, kami sempat meluangkan masa bersama. Anak-anak yang berada jauh sempat berkomunikasi menggunakan panggilan video.”
“Allahyarham berhadapan komplikasi akibat jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati. Beliau bergantung kepada antibiotik sepanjang mendapatkan rawatan sebelum ini,” katanya.
ADUN Belantik itu meninggal dunia sekitar jam 11.20 malam tadi, di HSAH dan meninggalkan isteri, Che Faridah Md Desa, 61 dan lima orang anak.
Allahyarham menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.