Tumpuan :
Nasional

ADUN Ayer Kuning meninggal dunia

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin, 59, dilaporkan meninggal dunia selepas bermain bola sepak petang tadi.

Ishsam rebah dan tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang.

“Beliau pengsan dan tidak sedarkan diri semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium.

“Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam lebih kurang 5.40 petang setelah menerima bantuan kecemasan di tepi padang.

“Namun, beliau disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HPP pada jam 6.28 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan ambulans berada di dalam stadium untuk membawa seorang individu yang pengsan ke hospital.

Allahyarham, yang mewakili UMNO-Barisan Nasional, memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti 2,213 undi.

Beliau merupakan bekas pemain bola sepak negeri Perak dan Negeri Sembilan dari tahun 1984 hingga 1996 serta pernah mewakili skuad kebangsaan pada tahun 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini