comscore
Tumpuan :
Nasional

Aduan tiada penyelesaian, penduduk bina sendiri benteng muara Sungai Merang

SETIU: Kira-kira 300 penduduk bergotong-royong membina benteng muara Sungai Merang, di sini selepas tidak tahan menanggung kerugian akibat bot sentiasa rosak tersangkut pada beting pasir akibat muara cetek.

Bukan hanya bot membawa pelancong Pulau Redang, malah penduduk dan nelayan yang menggunakan muara itu juga berdepan kesukaran untuk keluar masuk.

Sebelum ini tular di laman sosial bot membawa pelancong bercuti di Pulau Redang tersangkut pada beting pasir di muara berkenaan hingga memaksa mereka turun menolak bot terbabit.

Situasi itu membuatkan pengusaha bot, nelayan dan penduduk tertekan sekali gus mencari alternatif tanpa meminta bantuan agensi kerajaan atau wakil rakyat bagi membina benteng menggunakan kayu dan 4,000 guni pasir.

Pengusaha bot pelancong, Azhar Che Razak, 31, berkata dia bersama pengusaha bot yang lain, nelayan dan penduduk mengambil inisiatif membuat benteng menyekat satu laluan keluar masuk di muara sungai berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menggunakan dana sumbangan pengusaha bot, penduduk dan nelayan sebanyak RM19,800 dengan menyewa sebuah jengkaut bagi mendalamkan muara terbabit.

“Kami sudah tidak tahan lagi, aduan demi aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib membabitkan kerajaan negeri dan wakil rakyat, tapi semuanya tiada jalan penyelesaian.

“Isu ini sudah berlaku 30 tahun lalu, tapi serius lebih lima tahun lalu ketika musim tengkujuh. Walaupun kerajaan sudah bertukar ganti sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan, namun masih gagal menangani sehingga sekarang.

“Jadi, hasil mesyuarat bersama pengusaha bot, nelayan dan penduduk, kami bersepakat bergotong royong membuat benteng bagi mengatasi masalah bot tersangkut di muara sungai Merang,” katanya yang ditemui di sini.

Azhar berkata, pihaknya merayu kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat membantu permasalahan yang dihadapi ini.

“Kami juga sudah menghantar satu memorandum berhubung permasalahan kepada Perdana Menteri semalam,” katanya.

Pemandu bot, Khairul Azman Mohamad, 36, berkata pengusaha bot juga terpaksa menahan malu dengan pelancong apabila bot mereka tersangkut dan perlu meminta bantuan mereka turun menolak bot terbabit.

Menurutnya, apabila bot mereka tersangkut, sudah pasti enjin akan mengalami kerosakan selepas dimasuki pasir selain memikirkan nyawa penumpang juga dalam bahaya.

“Jika enjin bot mengalami kerosakan, kos membaik pulih tidak kurang RM10,000 sebiji dan jika bot menggunakan tiga enjin, maka mereka perlu menanggung RM30,000.

“Malah, saya tidak tahu masalah ini bila akan dapat diselesaikan dan yang menanggung masalah kami pengusaha bot, penduduk dan nelayan yang menggunakan laluan ini setiap hari,” katanya.

Loading...
Terkini