comscore
Tumpuan :
Nasional

Aduan Rakyat: Sesak nafas, hidu asap berbahaya

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

BANTING: Sesak nafas akibat terpaksa hidu asap berbahaya setiap hari!

Penderitaan itu dialami hampir 3000 penduduk di kawasan Sungai Manggis, Banting, Kuala Langat Selangor yang berdepan pencemaran udara dari kilang berhampiran kawasan kediaman mereka.

Bau bahan kimia yang mengancam kesihatan penduduk itu didakwa bermula sejak 2019.

Dakwa penduduk pada awalnya, mereka menemui cecair hitam dari longkang bersebelahan perumahan dan Sekolah Rendah Agama Integrasi di Sungai Manggis.

Bahan itu dipercayai menjadi punca kepada pencemaran udara di kawasan terbabit yang membahayakan kesihatan.

Menurut penduduk,yang hanya mahu dikenali Zai, kilang terbabit akan melepaskan asap bermula jam tujuh malam, malah bunyi bising juga kedengaran hingga ke lewat malam.

“Asap itu memang setiap hari kita nampak dan ada pembakaran, manakala bau pula memang sangat tidak menyeronokkan, bau kimia,”

Penduduk Mustafa Abdullah yang ditemui berkata sering kali mengalami sesak nafas.

“Sesak nafas, kadang saya lelah hingga perlu pergi ke hospital sebab kesihatan paru paru saya tidak baik, dan bunyi bising (piling) kuat hingga jam 11 atau 12 malam”

Pakar dan penyelidik yang membuat kajian mengenai tahap pencemaran udara di kawasan ini mendapati tahap mikrozarah penyebab kanser dikenali sebagai bahan pencemar PM2.5 adalah tinggi.

Sejak 2021 , penyelidik dari Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof Madya Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir,
menempatkan penderia yang digunakan bagi merekod bacaan kualiti udara setiap 20 minit di sekitar lokasi berkenaan.

“Kebiasaanya malam, atmosfera kita lebih stabil jadi lapisannya akan naik sebab sejuk, namun apabila saya pantau disini ada beberapa kali setiap malam, PM2.5 meningkat namun pada waktu itu kita tidak tahu arah angin datang daripada mana tapi memang tinggi”

“PM2.5 akan terus masuk ke darah kita, meresap melalui paru paru , jadi kesannya sama ada jangka pendek dan panjang akan menyebabkan masalah kepada individu yang mengalami asma atau radang paru paru, ” ujar Aktivis Alam Sekitar Prof. Dr. Maketab Mohamed

Ahli parlimen kuala langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata , pihak berkuasa tempatan perlu lebih tegas dalam penguatkuasaan.

“Penguatkuasaan perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab, dan jika perlu dikompaun maka kenakan ia.

“Sebab kawasan itu berdekatan dengan beberapa agensi kerajaan maka harus pemantauan harus dibuat jika tidak secara mingguan atau harian, berkala perlu ada supaya ia dapat ditangani, dan bagi pihak kilang juga sentiasa berjaga,”

Aduan itu juga kami panjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata, pengawasan bau telah dilakukan namun pihaknya mendapati tiada bau yang ketara, malah pihaknya sedang meneliti isu berkenaan dan akan memaklumkan tindakan diambil dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini