Tumpuan :
Nasional

Aduan Rakyat: REACH soal keseriusan MDCH menjaga kelestarian alam di Cameron Highlands

REACH mendakwa projek pembangunan yang diluluskan MDCH seakan tidak memberi perhatian dalam aspek kelestarian alam.

Oleh: Kumaran Rajamoney

CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highland (REACH) kecewa dengan pendekatan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dalam meluluskan projek, yang disifatkannya seakan tidak mengambil serius isu kelestarian alam.

Presidennya, A.Dilip Martin menjelaskan jawapan yang diberikan berhubung rungutan yang disuarakan REACH mengenai kerja-kerja menjarah hutan yang sedang dijalankan di sebuah kawasan berstatus Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap satu, tidak mencerminkan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

A.Dilip Martin – Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highland (REACH)

Dilip menjelaskan, kawasan itu ditetapkan dibawah klasifikasi KSAS tahap satu dibawah Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) 2030.

“Kenapa pihak MDCH sebagai pihak yang sepatutnya memastikan pematuhan RTDCH 2023 ini menyifatkannya ia sebagai hanya sekadar panduan sahaja? Ia sebuah dokumen yang sudah diwartakan oleh kerajaan negeri dan di bawah Akta 172.

“Jika bukan MDCH yang mengambil pendekatan mematuhi dokumen ini, siapa lagi yang akan mengambil langkah itu?,” soalnya.

Dilip turut mendakwa pembersihan hutan di kawasan bukit berhampiran Tringkap itu dijalankan di kawasan yang tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti pembangunan, pertanian dan pembalakan melainkan aktiviti bagi tujuan pelancongan alam semulajadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.

“Jadi, jelas pembersihan hutan itu tidak menepati syarat asas KSAS tahap satu. Siapa yang dianugerahkan kerja-kerja disitu, dan apakah projek yang akan diusahakan? Apa yang dapat dimanfaatkan rakyat atau MDCH menerusi pembersihan hutan disitu?

“Tambahan pula kelulusan bagi projek ini diberikan disebalik titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua projek pembangunan di kawasan tanah tinggi ini dihentikan,” tegasnya.

REACH desak kerajaan negeri ambil langkah segera hentikan projek bagi memastikan kelestarian alam di Cameron Highlands terpelihara.

Justeru REACH mendesak kerajaan negeri untuk mengambil langkah segera menghentikan projek itu bagi memastikan kelestarian alam di Cameron Highlands terpelihara.

Pada Sabtu, Aduan Rakyat TV3 melaporkan kebimbangan REACH akan kerja-kerja pembukaan kawasan hutan di Tringkap yang dijalankan di kawasan KSAS Tahap satu.

Selain mengganggu kelestarian alam, lokasi itu juga didakwa sangat hampir dengan Kampung Baru Tringkap dan dikhuathiri mampu mengundang bencana seperti tanah runtuh.

MDCH dalam kenyataannya bagaimanapun memaklumkan RTDCH 2030 hanyalah bersifat rujukan serta panduan sahaja dan pemakaiannya bukan bersifat mandatori kerana ia perlu dibaca bersama dengan Rancangan Pemajuan (Rancangan Tempatan) dan tidak terpakai bagi Kawasan Pengurusan Khas (Special Management Area –SMA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini