comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ADUAN RAKYAT: Laluan terputus ekoran fenomena air termenung


KLUANG: Lebih setahun, laluan yang menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Tengah di Layang-Layang, Kluang, Johor dengan pekan Layang, Simpang Renggam terputus berikutan dinaiki air hingga 2.5 meter.

Fenomena air termenung itu didakwa penduduk berpunca daripada ketiadaan sistem perparitan yang sempurna selepas projek pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru dilaksanakan.

Lapan bulan lalu jalan alternatif yang menghubungkan Pekan Renggam sejauh lima kilometer (KM) ini masih boleh digunakan kerana belum dilimpahi air.

Pun begitu, hanya kenderaan pacuan empat roda yang boleh melaluinya dan kini di lokasi sama, jalan ini tidak boleh lagi dilalui semua jenis kenderaan.

Penduduk tiada pilihan dan terpaksa melalui jalan sejauh 25KM untuk ke Pekan Renggam.

Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna menjadi punca berlakunya fenomena air termenung.


Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna menjadi punca berlakunya fenomena air termenung



Selepas beberapa aduan dikemukakan kepada pihak berwajib dan kontraktor tidak memberikan maklum balas, penduduk tampil membuat laporan polis di Balai Polis Renggam.


FOTO : DILAMPIR
Penduduk tampil membuat laporan polis di Balai Polis Renggam


Usaha kami mendapatkan komen pihak kontraktor projek landasan berkembar terbabit juga gagal.

Ujar salah seorang penduduk Mohd Arif Ahmad, masalah berkenaan menyulitkan pengguna jalan itu.

Penduduk, Mohd Arif Ahmad



“Jalan alternatif yang kita lalu di sini adalah yang paling terdekat untuk ke Layang-Layang, jadi untuk ke sana perlu melalui jalan ini.

“Kerana jalan hadapan agak jauh jugalah perjalanannya lebih kurang 25 kilometer,” katanya.

Dalam pada itu penduduk B.Kumaran mendakwa, air yang naik turut mengakibatkan kerosakan pada kenderaannya.


Penduduk, B.Kumaran



“Saya bekerja di kawasan sini dan menjadi kebiasaan untuk saya menggunakan jalan ini,”

“Namun sekarang jalan ini telah dinaiki air sehingga menyebabkan kereta saya masuk air dan ‘starter’ kenderaan saya tidak boleh dihidupkan, saya perlu memanggil orang ramai untuk menarik kenderaan saya, sudahlah jauh perlu pusing,” jelasnya

Penduduk, Wong Yung Chin juga memaklumkan perlu berbelanja lebih untuk menggunakan laluan berkenaan.

Penduduk, Wong Yung Chin



“Sekarang saya tidak berani lalu di sini, sekarang ikut renggam, kampung tengah, kemudian, pusing balik Layang-layang jadi sangat jauh,

“Hari-hari belanja pun lebih kerana untuk satu hari kalau dua tiga kali jalan,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Tanah daerah Kluang, pihaknya memaklumkan masalah itu berpunca daripada konflik berpanjangan antara pihak kontraktor projek landasan keretapi berkembar dengan pemilik kolam ikan arowana.


Konflik dikatakan bermula apabila pemilik kolam ikan terpaksa menanggung kerugian RM2 juta berikutan ikan-ikannya mati berpunca dari aktiviti pembinaan landasan berkenaan.

Pemilik kolam ikan terbabit telah menutup laluan air semulajadi atas tanah miliknya untuk mengelak kerugian lebih besar.

Akibatnya, air daripada ladang Rengam tersekat dan menyebabkan keadaan banjir memburuk setiap hari serta air bertakung.

Pejabat Tanah Kluang mengesyorkan tindakan perlanggaran syarat ke atas pemilik lot berkenaan kerana telah menjalankan aktiviti penternakan ikan di atas tanah berstatus getah dan kelapa sawit.

Notis telah dikeluarkan dan pemilik kolam ikan itu memaklumkan telah melantik jurukur pada 13 Oktober lalu untuk permohonan ubahsyarat kepada keadaan sedia ada.

Loading...
Terkini