KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyangkal dakwaan wujud ketirisan dalam aspek perolehan aset ketenteraan negara.
Beliau berkata setiap pembelian perlu melalui proses mendapat persetujuan pengguna akhir sebelum ia dimuktamadkan.
Katanya, amalan itu dilaksanakan Kerajaan Madani dengan ia dibuat berdasarkan Kertas Putih Pertahanan yang merangkumi tiga domain utama iaitu aset bagi ketenteraan udara, darat dan laut.
“Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) ada membangkitkan mengenai peranan ‘end user’ (pengguna akhir). Adakah perolehan (yang dibuat) memenuhi kehendak mereka.
“Harus saya ingatkan, mengikut model Kementerian Pertahanan, siapa pun jadi kerajaan, kita tahu perkara paling asas adalah (mengambil kira) kehendak daripada ‘user’ (pengguna) itu sendiri.
“Jika ‘user’ itu tak terima, maka proses (pembelian) takkan berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Adly berkata dalam hal ini, pengguna akhir akan menyediakan spesifikasi aset, selain turut membuat nilaian dari aspek kewangan dan teknikal.
Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq mengenai wujud pembelian aset tanpa persetujuan pengguna akhir sama ada bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi laut, darat dan udara, Adly berkata, perkara itu tidak berlaku.
“Ada (Syed Saddiq) sebut, dalam proses pembelian, mula-mula ‘end user’ tak terima, namun akhirnya terima pula (beri persetujuan). Ini hanya persepsi. Sama ada pihak mereka nak terima atau tidak, ‘end user’ sudah diberi peluang dari awal (proses).
“Begitu juga kalau di akhir (proses pembelian), mereka tak setuju, maka (pembelian) tak dibuat. Proses ini juga diamalkan bagi pembelian ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan) oleh Kerajaan Madani. Keperluan daripada ‘user’ harus diambil kira,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq ingin tahu sama ada pihak ‘end user’ iaitu Panglima Tentera Laut mempersetujui pembelian aset berkaitan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dikaitkan dengan skandal rasuah.
Beliau berkata dapatan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan kerajaan tidak mengikut nasihat Panglima Tentera Laut sehingga menyebabkan kerugian besar dengan impaknya terpaksa ditanggung rakyat.
Skandal LCS mula terbongkar apabila PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.
Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.