Tumpuan :
Kemalangan

‘Adik sudah berlatih nikahkan saya Ahad ini….’

Ahli keluarga mangsa ketika ditemui ketika usaha mencari dan menyelamat seorang remaja, Muhammad Ikmal Hakim Ahmad 20, yang dkhuatiri lemas ketika mandi laut di Teluk Cempedak.

KUANTAN: “Adik nak sangat menjadi wali dan menikahkan saya pada Ahad ini memandangkan kami sudah tiada ayah atau adik beradik lelaki lain.

“Malah dia sering berlatih dan menghafal lafaz akad nikah untuk majlis itu nanti” kata Saidatul Aina Ahmad, 23, kakak kepada Muhamad Ikhmal Hakim Ahmad, 20, yang dilaporkan hilang di Pantai Teluk Cempedak, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhamad Ikhmal dan rakannya Amirul Izat Zainal Abidin, 19, dihanyutkan arus deras ketika mandi di pantai terbabit bersama seorang lagi rakan, namun Amirul Izat berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa tenggelam dan gagal dikesan.

Saidatul Aina berkata, dalam keluarga, dia paling rapat dengan mangsa yang juga anak bongsu daripada lapan beradik malah mereka sering berkongsi cerita bersama.

“Kebelakangan ini adik memang suka pergi ke pantai malah sering mengajak saya menemaninya namun hari ini dia hanya bagi tahu mahu keluar bersama rakan tanpa menyatakan ke mana.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi oleh pihak bomba dan saya sempat menghubungi nombor adik untuk mengesahkan kejadian dan panggilan itu dijawab anggota bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirul Izat berkata, dia dan Muhamad Ikhmal serta seorang lagi rakan, Fadly Simon, 20, datang ke pantai berkenaan untuk mandi dan sepatutnya pulang sebelum mangsa masuk kerja jam 4 petang.

“Ketika tiba di pantai, air laut sangat tenang namun sebelum kejadian, Fadly yang berada berhampiran darat menjerit supaya kami naik segera memandangkan air semakin pasang dengan ombak kuat dan arus laju.

“Ketika berjalan ke darat, tiba-tiba kami terjatuh ke dalam teluk yang dalam menyebabkan kami berdua hampir lemas dan ketika itu saya sempat memegang tangannya.

“Saya berjaya keluar dari teluk itu namun mangsa terus tenggelam dan usaha mencarinya juga gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelasnya, Muhamad Ikhmal dan Fadly sepatutnya menghadiri temuduga kerja di sebuah stesen minyak di Bukit Pelindung, di sini, esok.

“Kami baru kenal beberapa bulan lalu kerana bekerja bersama di sebuah kedai serbaneka di Galing, di sini, dan mangsa seorang yang sangat periang malah hari ini juga dia kelihatan sangat gembira,” katanya.

10 anggota polis menyertai operasi SAR yang turut dibantu oleh JBPM Pahang, dan APM.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, seramai 10 anggota polis menyertai operasi dan mencari (SAR) yang turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi SAR membabitkan pencarian melalui darat dan juga air menggunakan tiga buah bot dan operasi akan di sambung semula esok,” katanya.

Loading...
Terkini