Tumpuan :
Nasional

Adik penyerang balai polis Ulu Tiram mengaku tidak bersalah gagal beri maklumat ideologi keganasan

 

Foto fail

KUALA LUMPUR: Adik kepada lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Mariah Radin Imran, 19, seorang penjual kuih membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim K. Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 9 Januari 2025 untuk pengurusan kes.

Wanita itu didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala Mariah diwakili peguam Arief Firdaus Ashikin.

Pada 24 September lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, di sini.

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, ibunya Rosna Jantan, 59, dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini