NILAI: “Penduduk Gaza, termasuk keluarga saya di sana sedang berjuang untuk hidup,” kata Dr Wesam Almahallawi, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.
Bimbang dengan nasib ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya di Gaza, beliau berharap gencatan senjata dapat disegerakan.
Menurut Dr Wesam, setakat ini, 19 ahli keluarga dan saudara mara, termasuk seorang adik lelakinya terbunuh dalam serangan bom oleh tentera Zionis di Gaza City pada 25 Oktober lalu.
“Serangan bom Israel memusnahkan bangunan kediaman dihuni keluarga saya dan kira-kira 200 lagi penduduk Gaza.
“Ia menyebabkan kematian adik lelaki, ibu saudara, anak saudara dan sepupu saya, termasuk seorang yang baru berumur dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, ibu dan bapa serta adik lelaki bersama dua adik perempuannya terselamat dalam serangan bom berkenaan, namun sangat sukar untuk beliau menghubungi mereka.
“Saya perlu menunggu berhari-hari untuk mereka membalas mesej saya kerana Israel menghentikan semua liputan rangkaian telefon dan internet di Gaza.
“Setakat ini sudah empat hari saya tidak menerima apa-apa berita daripada adik perempuan saya yang berada di utara Gaza,” tambahnya dan memaklumkan keadaan kehidupan di Gaza ketika ini sangat menyukarkan.
“Ibu saya berumur 65 tahun dan bapa 68 tahun. Mereka terpaksa berpindah randah dari satu rumah ke rumah yang masih tidak dimusnahkan oleh tentera Zionis. Setiap malam, mereka berdoa dapat hidup keesokannya kerana serangan bom boleh berlaku bila-bila masa,” katanya.
Dr Wesam berkata, serangan bom di Gaza oleh tentera Zionis menjadi lebih kerap pada waktu malam.
Tambahnya, penduduk Gaza ketika ini mengadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman.
“Saya bertanya keluarga jika mereka memerlukan wang, namun menurut mereka, segalanya telah musnah di bandar. Tiada apa yang boleh dibeli,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM menganjurkan perhimpunan solidariti disertai lebih 500 warga universiti itu semalam, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat Palestin yang sedang berdepan ancaman tentera Zionis.