Tumpuan :
Dunia Seni

Adi Putra ditahan di wad kerana jangkitan kuman paru-paru, batu karang

Keadaan Adi masih lemah dan doktor maklumkan dia mengalami demam, batuk, selsema, batu karang dan jangkitan kuman pada paru-paru.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Adi Putra dimasukkan ke pusat perubatan, semalam selepas mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan batu karang.

Isterinya, Datin Aida Yusof ketika dihubungi Harian Metro berkata, tahap kesihatan suaminya agak lemah sehingga terpaksa ditahan di wad.

“Beberapa hari ini kami agak sibuk dengan urusan kerja. Namun, semalam tiba-tiba badannya sangat lemah dan terpaksa dibawa ke hospital.

“Dia yang ketika itu berada di lokasi penggambaran dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

“Setakat ini, keadaannya masih lemah dan doktor maklumkan dia mengalami demam, batuk, selsema, batu karang dan jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Menurut Aida, dia mengakui suaminya jatuh sakit kerana tidak mendapatkan rehat yang mencukupi.

“Dia menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Sekam Di Dada dan juga pelancaran produk kecantikan diberi nama Darling Moisturizer untuk saya uruskan.

“Jadi, disebabkan tidak cukup rehat, badannya lemah dan jatuh sakit,” katanya.

Terdahulu, Adi memuat naik foto di hospital dan memohon agar urusannya dipermudahkan.

“Semoga dipermudahkan. Aku rindu mu ibu (arwah ibu),” tulisnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini