comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada telefon bimbit, tetapi tiada liputan rangkaian dan capaian internet

Mek Som (kiri) bersama Che Hussain sedang menggunakan telefon bimbit milik mereka di Kampung Bayu Dalam, di sini. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: “Bila ada kecemasan kami sukar untuk berhubung dengan keluarga atau melaporkan kejadian yang berlaku.”

Inilah situasi yang dihadapi lebih 50 penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam, di sini, sehingga terpaksa keluar kira-kira tiga kilometer melalui jalan ladang getah dan kelapa sawit yang berbatu bagi mendapatkan rangkaian telefon dan capaian internet untuk berhubung.

Penduduk mendakwa situasi yang dilalui mereka itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu apabila mereka mula membina rumah dan kebun di kawasan terbabit.

Seorang penduduk warga emas, Mek Som Awang, 73, berkata, dia menghidap penyakit jantung dan darah tinggi. Dengan keadaan kesihatan sebegini penting untuk saya sentiasa berhubung dengan anak-anak termasuklah yang tinggal jauh di Kuala Lumpur.

“Saya bertambah risau apabila berlaku kejadian serangan gajah liar hampir tiga minggu lalu di kawasan ladang yang meragut nyawa seorang lelaki warga asing. Saya lambat mendapat maklumat tentang kejadian itu dan hanya mengetahui selepas melihat beberapa buah kereta polis melalui jalan di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Bayu Dalam, di sini.

Menurut Mek Som, dia bersama suami mula tinggal dan mengusahakan kebun di kawasan terbabit sejak 10 tahun lalu.

Katanya dia memilih untuk tinggal di situ kerana ia adalah tanahnya sendiri dan sehingga kini sudah lebih 10 keluarga turut membina rumah di atas tanah sendiri.

Bagi Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, pula, ketiadaan rangkaian telefon dan capaian internet di kampung yang terletak di kawasan ladang getah dan kelapa sawit itu menyukarkan kehidupan penduduk.

Katanya, mereka kini terputus hubungan dengan dunia luar dan tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak mempunyai rangkaian telefon dan internet walaupun mempunyai telefon bimbit.

“Saya duduk di sini macam orang buangan apabila sukar mengetahui perkembangan semasa di kawasan luar kerana tidak mempunyai kemudahan talian telefon dan internet.

“Kami perlu keluar dan berada di pinggir jalan Gua Musang-Kuala Krai semata-mata untuk mendapatkan rangkaian telefon atau liputan internet. Kami harap pihak berwajib dapat mengambil perhatian supaya rakyat pedalaman dapat menikmati kemudahan telekomunikasi seperti penduduk di kawasan bandar,” katanya.

Menurutnya, keperluan asas yang lain seperti bekalan elektrik dan air bersih sudah disediakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, pihaknya akan membawa masalah telekomunikasi yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada pihak MCMC malah rangkaian yang berlaku di Kampung Limau Kasturi dan alhamdulillah MCMC pantas bertindak menyelesaikan masalah penduduk kampung terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini