comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada Petanda Negara Sedia Ke Fasa Endemik, Keputusan Pada KKM

Foto: BERITA HARIAN

PAGOH: Pembukaan banyak sektor dan penganjuran himpunan besar adalah petanda negara sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik sepenuhnya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak yang lebih pakar untuk menentukan perkara itu, seterusnya menasihati kerajaan untuk mengumumkan apabila negara sudah sampai masa untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Beliau berkata, MPN komited memberi pandangan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan peralihan negara ke fasa endemik sepenuhnya, susulan banyak kelonggaran yang diberikan ketika ini.

“Ini selaras dengan tanggungjawab MPN iaitu memberi pandangan dan nasihat berdasarkan fakta yang ada kepada kerajaan.

“Mungkin dalam mesyuarat akan datang dan agenda utamanya adalah dengan membentang laporan COVID-19. Kita akan mengambil kira pelbagai sudut dan kemukakan cadangan kepada kerajaan.

“MPN hanya boleh memberi pandangan dan nasihat ketika ini. Keputusan untuk negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya adalah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) atau kerajaan yang akan putuskannya.

“Paling penting adalah kita pulih dari segi ekonomi. Itu perlu menjadi tumpuan utama kerajaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, KKM harus bertindak atas data sains, fakta dan tidak boleh sesuka hati mengambil keputusan kerana perkara berkenaan membabitkan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sekarang sudah ada lebih kebebasan dan data yang ada menunjukkan kes COVID-19 semakin menurun.

“KKM boleh beri pertimbangan tapi yang penting adalah sebahagian besar atau hampir semua sektor ekonomi, sosial, pendidikan sudah kembali seperti sedia kala,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini