Tumpuan :
Nasional

Ada peruntukan kepada NGO anjur program pembersihan di Wilayah Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (dua kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif (dua kiri) melakukan aktiviti mengutip sampah pada program BeST (Bersih Setiap Tempatan) di Pavillion Bukit Bintang. Foto NSTP

Oleh Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia untuk menyalurkan peruntukan kepada mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau Persatuan yang berminat untuk menganjurkan program aktiviti pembersihan dan keceriaan di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan pembudayaan persekitaran bersih dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Kita ingin melakukan inisiatif ini di peringkat komuniti dan kalau ada NGO yang berminat bekerjasama dengan kita selaku rakan strategik, kita ada sediakan bajet untuk menggalakkan mereka melaksanakannya di peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Bersih Semua Tempat (BeST) secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di sini hari ini.

Jelasnya, jumlah peruntukan yang diberikan bergantung kepada permohonan melalui kertas kerja yang dikemukakan kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (tengah) bergambar bersama peserta yang mengikuti pada program BeST (Bersih Setiap Tempatan) di Pavillion Bukit Bintang. Foto NSTP

Selain itu, katanya program BeST ini selari dengan usaha mewujudkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar bersih dan mampan sekali gus membina imej negara yang positif bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026

”Menerusi program BeST kerajaan ingin mewujudkan kesedaran dan pendidikan awal tentang kepentingan menjaga kebersihan serta sikap kebertanggungjawaban semua lapisan umur warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha turut melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari setiap tahun.

Sebanyak 72,000 unit bendera Wilayah Persekutuan diedarkan selain lebih 60 program akan dilaksanakan sempena sambutan kali ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini