Tumpuan :
Nasional

‘Ada perubahan pada Mohd Dawisy, masih ditidurkan’ -Bapa 

GEORGE TOWN: “Doktor beritahu ada perubahan pada Mohd Dawisy Zarif, namun tidak maklumkan lebih lanjut sama ada positif atau negatif.

“Setakat ini, dia masih ditidurkan dan berharap anak saya cepat pulih,” kata Mohd Khairi Abdul Ghani, 38.

 

Bapa kepada kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, dia ‘berkampung’ di perkarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, bagi mengikuti perkembangan anaknya yang terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Khamis lalu.

“Pada masa ini saya bergilir-gilir dengan isteri (Suhana Samsudin, 37) berulang-alik dari rumah di Bayan Lepas ke HPP.

“Selain beberapa perkara yang perlu diuruskan di hospital, sudah tentu saya mahu segera tahu perkembangan Mohd Dawisy.

“Sehingga 2 pagi tadi barulah saya pulang ke rumah dan ke hospital semula pada 10 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Khairi berkata, setakat ini dia tiada maklumat lanjut berhubung TNB akan menyalurkan bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan bagi memastikan anaknya mendapat rawatan terbaik.

“Pihak TNB Pulau Pinang ada memberitahu mengenai rawatan Mohd Dawisy ketika melawat anak kami, namun saya belum bertanyakan perkembangan lanjut,” katanya.

Terdahulu media melaporkan mangsa melecur hampir 50 peratus pada badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa dikatakan memasuki bilik janakuasa elektrik terbabit bagi mengambil bola miliknya selepas terjatuh dalam premis berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini