Tumpuan :
Nasional

Ada pelanggan tidak dibenarkan membuat pembelian melebihi had, tidak berpuas hati – KPDN

Tangkap layar video tular

PUTRAJAYA: Insiden tular yang mendakwa wujud tindakan menyorok penjualan minyak masak paket kepada warga asing tanpa kawalan di sebuah pasar raya di ibu negara, hanyalah salah faham.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini memaklumkan, perkara itu dikesan selepas anggota penguat kuasanya melakukan pemeriksaan di premis berkenaan.

“Pihak pasar raya mengehadkan pembelian minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi maksimum hanya tiga paket sahaja bagi setiap transaksi, namun ada beberapa pelanggan yang tidak dibenarkan membuat pembelian melebihi had terbabit, tidak berpuas hati.

“Ketika proses pemulangan semula lebihan minyak paket terbabit oleh pekerja warga asing di kaunter pembayaran, video berkenaan dirakam oleh pemilik video tanpa mengetahui punca sebenar yang berlaku,” katanya.

KPDN berkata, pihak pasar raya juga mengesahkan bahawa tidak berlaku penjualan minyak masak paket hanya kepada warga asing seperti yang didakwa dalam video tular itu.

Katanya, pihak pasar raya juga sudah membuat satu laporan polis berhubung isu berkenaan.

“KPDN ingin menasihati orang ramai dan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dan kekecohan dalam kalangan orang ramai.

“KPDN juga ingin memberi amaran tegas kepada semua peniaga supaya terus mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuk berkaitan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati dengan tindakan pekerja warga asing dikatakan menyorok dan hanya menjual minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing.

Artikel berkaitan: Siasat dalam tempoh 24 jam jika ada aduan – KPDN Selangor

Video berdurasi 43 saat memaparkan beberapa individu berang dan tidak berpuas hati, selain ada antaranya yang mempertikai kenapa bekalan terbabit tidak mencukupi.

Loading...
Terkini