PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan ada pihak dalam parti gabungan itu terpaksa beralah demi memastikan pembentukan kerajaan yang stabil.
Beliau mengakui tidak semua permintaan dikemukakan setiap parti dipenuhi dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Tidak ada mana-mana parti memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum lalu, maka sebab itulah Kerajaan Perpaduan ini lahir apabila kita kumpul beberapa parti.
“Jadi dalam soal itu, tidak semua permintaan atau hajat daripada setiap gabungan parti itu dapat dipenuhi. Masing-masing ada yang dapat dan ada yang beralah,” katanya kepada pemberita selepas tiba pada hari pertama untuk memulakan tugas sebagai di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dengan gabungan pelbagai parti perlu kekal berwaspada untuk memastikan ia kekal sebagai kerajaan yang stabil.
“Ia masih hari-hari awal lagi (pembentukan kerajaan) dan kita perlu berhati-hati. Saya ingat kita perlukan kerajaan yang stabil selepas beberapa peralihan kerajaan yang kita alami dalam tempoh sejak 2018.
“Asyik menteri baharu dan saya fikir ia tidak sihat untuk sebuah negara. Kita fokus dengan kestabilan dan bergerak ke hadapan untuk tempoh lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan Kerajaan Perpaduan hari ini adalah berkaitan dengan isu kos sara hidup, kestabilan dan gaji pekerja.
“Saya lihat ada banyak persamaan antara manifesto (parti gabungan) dan ia tidaklah begitu besar ruangnya antara Gabungan Parti Sarawak, Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan.
“Jadi kita akan fokus perintah secara dasarnya dan tempat lain (perbezaan) kita harus bincang namun saya fikir, ia adalah langkah yang positif,” katanya.