KOTA TINGGI: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Kota Jaya, di sini petang tadi, dikatakan kerap bermain di kawasan itu.
Abang mangsa, Mohd Shazif Iman Gentor, 28, memaklumkan dia akan menegur adiknya, Mohammad Rayyan Alif setiap kali mengetahui kanak-kanak itu bermain di kawasan berkenaan.
Katanya, kali terakhir dia melihat adiknya di rumah, sedang makan tengah hari sebelum mangsa keluar bermain dengan seorang lagi kanak-kanak yang jarang dilihat main bersama.
“Ketika kejadian, memang hujan dan selain suka main hujan, adik juga suka bermain di kawasan longkang dekat perumahan kami, tetapi biasanya dia main di kawasan atas sahaja.
“Memang hari-hari marah dia sebab suka main dekat longkang. Cuma, biasanya dia main ramai-ramai, hari ini mungkin sebab hujan, jadi dia main dengan kawan yang bukan biasa dia main, hanya berdua sahaja,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di pintu air Sungai Kemang di sini, hari ini.
Mohd Shazif Iman berkata, kawan adiknya itu sempat memberitahu penduduk berhampiran mengenai kejadian.
“Adik jatuh di kawasan sebelah rumah orang, kemudian kawan adik itu sempat beritahu seorang mak cik di rumah berhampiran yang memaklumkan hal itu pada saya.
“Saya terus ke longkang itu, namun kelibat adik sudah tiada. Air ketika itu memang deras, saya campak selipar di longkang dan dalam tempoh 10 minit selipar itu sudah hampir sampai ke Sungai Johor,” katanya.
Dia bimbang sekiranya adiknya sudah jauh dibawa arus ke Sungai Johor kerana difahamkan pintu air Sungai Kemang terbuka ketika kejadian itu.
Dakwanya, terdapat seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan longkang, menjadi antara orang terakhir yang melihat kelibat adiknya dibawa arus deras sebelum hilang di penghujung saluran longkang.
“Dia cakap air memang deras, tetapi dia sempat juga berlari ikut adik yang sedang dibawa arus dan katanya adik ada berpaut pada kayu sebelum hilang di penghujung longkang,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak lelaki itu dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.