KUALA LUMPUR: Seorang pemilik unit kediaman di Flat Sri Sabah, Cheras di sini yang musnah dalam kebakaran malam tadi mendakwa sebelum kejadian itu ada jiran terlihat percikan api dari bahagian hadapan rumahnya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 32, mendakwa kebakaran mungkin berpunca dari kotak fius yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu masuknya.
Beliau yang menghuni kediaman itu bersama ibunya yang berusia 68 tahun berkata ketika kejadian mereka berada di sebuah pusat membeli belah sejak jam 6 petang kerana ingin menonton wayang.
“Lebih kurang jam 9 lebih, saya dapat panggilan daripada seorang sepupu yang tinggal di blok sebelah maklumkan tentang kebakaran itu. Kami terus bergegas pulang dan tiba di sini dalam jam 10.25 malam dan pada waktu itu, pasukan bomba sedang berusaha memadamkan api,” katanya.
Menurutnya, beliau dimaklumkan kebakaran bermula daripada kediamannya sebelum merebak ke empat lagi kediaman bersebelahan.
Sebelum itu, katanya seorang jiran terhidu bau yang pelik dan memeriksa rumahnya sebelum ternampak percikan api di bahagian dalam di depan rumah.
“Apa yang saya kecewa apabila ada media melaporkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada tindakan membakar kertas sembahyang, bakar mercun dan sebagainya. Itu semua tak betul kerana kita tidak ada bakar kertas sembahyang (untuk ritual agama) atau bakar mercun seperti didakwa.”
“Biarlah pihak bomba jalankan siasatan terlebih dahulu dan tidak perlu buat andaian (punca kebakaran). Kami kini sehelai sepinggang dan mengalami kerugian ribuan ringgit kerana wang simpanan ibu dan dokumen peribadi kami musnah dalam kejadian itu. Lebih menyedihkan ia berlaku pada hari raya (Tahun Baharu Cina) pula,” katanya.
Bagaimanapun, Lau bersyukur kerana tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.
“Kami harapkan pihak kerajaan dapat menyediakan rumah baharu yang dapat menggantikan yang terbakar ini. Ibu dan saya sudah lebih 30 tahun menetap di sini,” katanya.
Media melaporkan lima unit kediaman musnah terbakar dalam kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 9.19 malam itu, seorang wanita berusia 62 tahun sesak nafas.
Seramai 16 penghuni dari lima buah rumah terkesan dalam kejadian itu kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang terkesan, Joe Boy Joseph Simon, 61, berkata dia sedang menikmati makan malam di luar sebelum dihubungi rakannya memaklumkan kediamannya terbakar.
“Lebih kurang jam 9.30 malam saya terima panggilan rakan, lantas saya kemudian bergegas pulang, sebaik sampai saya ingat rumah saya sahaja terbakar, rupanya api merebak dari pintu tiga dan turut menjejaskan rumah jiran lain.”
“Masalah pada tekanan air juga memberi kesan, itu yang lambat nak padam, kalau ada mungkin boleh selamat banyak rumah. Kita pun tidak berani hendak pergi dekat sebab api marak dengan cepat,” katanya.
Setakat ini, katanya beliau belum dapat anggarkan jumlah kerugian kerana rumahnya masih dalam proses ubah suai maka banyak barangan elektrik yang sudah dikeluarkan.
Namun beliau bersyukur kerana kebiasaan ibunya yang berusia 82 tahun akan sentiasa berada di rumah.
“Namun beberapa hari sebelumnya dia kata hendak pergi rumah kakak saya, jadi saya hantarlah.”
“Apa pun saya reda dengan kejadian yang berlaku, harap ada sedikit bantuan dan sumbangan oleh kerajaan atau pihak berwajib bagi meringankan beban ditanggung mangsa,” katanya yang tinggal di situ lebih 30 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Enam unit Flat Sri Sabah terbakar
- Kebakaran Flat Sri Sabah: Ingatkan bau mercun, rupanya rumah jiran terbakar
- Kebakaran Flat Sri Sabah: Tiada kemalangan jiwa, seorang warga emas sesak nafas
- Kerja pembersihan kebakaran Flat Sri Sabah selesai jam 8 pagi
- [VIDEO] Kejadian paling teruk di Flat Sri Sabah – saksi
- [VIDEO] Kebakaran Flat Sri Sabah: Anjing pengesan Jim, Woody bantu periksa tingkat 17