comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada berita sangat baik buat Malaysia, Pahang dari UAE – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai malam tadi. – Foto: NSTP

BENTONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu satu berita penting yang sangat baik akan diumumkan hasil lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khamis ini.

Anwar berkata khabar gembira itu bukan sahaja untuk kepentingan Malaysia secara amnya, juga secara khususnya merangkumi Pahang.

Beliau bagaimanapun berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail belum dimaklumkan mengenai berita baik itu.

“Mudah-mudahan Insya-Allah, kita akan beri pengumuman yang penting bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk Pahang.

“Saya tak beritahu (Wan) Rosdy sebab nak buat kejutan untuk dia. Tetapi syaratnya (kena) menang (PRK) Pelangai dulu.

“Kita akan umumkan satu berita yang sangat baik untuk Pahang daripada UAE,” katanya di Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, malam tadi,

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia sesuatu yang amat dinanti-nantikan adalah hasil kerja keras pasukan Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan serta keyakinan UAE terhadap kestabilan politik negara ini.

“Dia (UAE) yakin sebab politik kita stabil. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan saling mempercayai,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menambah peruntukan untuk  Pahang menerusi Bajet 2024 kelak bagi menyokong usaha mereka menyediakan perumahan untuk generasi kedua FELDA di negeri itu.

“Saya nak bagi jaminan Insya-Allah dalam belanjawan kita, kita tambah peruntukan supaya program diteruskan,” katanya.

Loading...
Terkini