KUALA LUMPUR: Terdapat sebilangan agensi umrah menggunakan pihak ketiga atau rakan kongsi di Arab Saudi untuk menempah hotel, berbanding membuat tempahan terus sehingga mendatangkan risiko kepada perubahan pengesahan hotel saat akhir.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, tindakan sedemikian menyebabkan ketidakpastian dalam pengesahan bilik kerana kebergantungan kepada ejen luar.
Katanya, musim puncak seperti cuti sekolah dan menjelang Ramadan, menyaksikan peningkatan mendadak permintaan terhadap bilik hotel di Tanah Suci.
“Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan hotel seperti dirancang kerana permintaan melebihi kapasiti yang ada, biarpun tempahan sudah dibuat lebih awal.
“Dalam keadaan tertentu, pihak hotel mungkin terpaksa mengubah pengesahan bilik bagi memenuhi keperluan operasi mereka sendiri, menyebabkan agensi terpaksa mencari alternatif pada saat akhir,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan agensi umrah berdepan isu ‘ditipu’ pengusaha hotel di Arab Saudi yang bersikap tamak mengambil tempahan sehingga menyebabkan ada jemaah tersadai tanpa bilik, bertukar hotel setiap hari dan lebih teruk tidak mendapat bilik langsung.
Mengulas lanjut, Wan Muhamad berkata, biarpun pertukaran jadual program termasuk hotel dibenarkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, ditegaskan bahawa sebarang perubahan mesti dilakukan secara beretika dan telus.
Agensi umrah kata beliau harus memaklumkan jemaah lebih awal mengenai sebarang perubahan dan memastikan mereka mendapat penginapan yang setara atau lebih baik.
“Jika jemaah tidak bersetuju dengan perubahan dibuat, mereka berhak membuat pilihan yang sesuai termasuk pembatalan pakej.
“Dalam beberapa kes, agensi mungkin sudah membuat tempahan lebih awal, namun pengesahan bilik hanya diberikan lebih dekat dengan tarikh ketibaan jemaah.
“Apabila bilik ditempah tidak dapat dipenuhi pihak hotel, agensi terpaksa mencari hotel alternatif yang tersedia, yang mungkin berbeza dari segi lokasi atau kemudahan berbanding pilihan asal,” katanya.
Justeru katanya, jemaah yang berasa terjejas boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk siasatan lanjut atau mendapatkan penyelesaian melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Kami menggesa semua agensi umrah berlesen supaya lebih proaktif dalam menangani isu ini dengan memastikan tempahan dibuat lebih awal, berurusan terus dengan hotel dipercayai dan menyampaikan maklumat kepada jemaah secara telus bagi mengelakkan kekecewaan,” katanya.
Sebagai badan yang mewakili industri umrah, BUMITRA katanya komited memastikan tahap perkhidmatan terbaik bagi semua jemaah dan menggesa kerjasama semua pihak dalam mengurus cabaran musim puncak ini dengan lebih efisien.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.