PUTRAJAYA:Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dilantik sebagai Ketua Pengarah JBPM yang baharu mulai esok.
Pelantikan Abdul Wahab itu adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid yang bersara wajib daripada perkhidmatan awam esok.
Pada majlis serah tugas hari ini, Mohammad Hamdan menyerahkan nota serah tugas dan tongkat kuasa Ketua Pengarah JBPM kepada Abdul Wahab, sebagai simbolik persaraan beliau serta pelantikan Abdul Wahab ke jawatan tertinggi pasukan ‘wira merah’ itu.
Mohammad Hamdan turut menerima hormat panggilan dan memeriksa perbarisan kawalan hormat yang dianggotai dua pegawai dan 99 anggota JBPM lain-lain pangkat.
Mohammad Hamdan memulakan perkhidmatan dalam pasukan JBPM pada 1988 dan menggalas tanggungjawab mengemudikan pasukan ‘wira merah’ itu pada 11 Jun 2018.
— BERNAMA