comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Abang Viva’ Akhiri Zaman Bujang

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 30, menamatkan zaman bujang apabila mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Evanoza Zakaria, 14 Oktober lalu.

Khabar gembira itu dikongsikannya dengan orang ramai menerusi sesi siaran langsung Facebook Live yang dilakukannya, malam tadi.

Namun, video tersebut disimpan sebagai tatatapn peribadinya.

Berita baik itu ujarnya, terpaksa ‘disimpan’ dahulu memandangkan dia dan pasangan perlu menyelesaikan beberapa perkara lebih penting.

“Kami (Azwan dan isteri) telah bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah di Ayer Keroh pada Jumaat minggu lalu dengan dihadiri ahli keluarga rapat.

“Majlis ini sepatutnya berlangsung serentak dengan majlis resepsi pada Disember depan, namun selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk bagi mengelak berlakunya fitnah kerana kami banyak menjalankan misi kemanusiaan bersama-sama, jadi kita percepatkan dengan cara lebih mudah,” jelasnya.

Menurut Azwan, dia dan isteri juga belum menetapkan tarikh resepsi kerana bimbang bencana banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut ini.

“Saya tak tahu macam mana berita ini ‘bocor’, ramai hantar mesej tanya betul ke dah kahwin, jadi selepas berbincang dengan isteri itu yang saya buat Facebook Live malam tadi.

“Saya minta maaf, bukan sengaja nak merahsiakan, lagi pula perkara yang baik begini, cuma kami perlukan masa yang sesuai untuk kongsikannya, kalau sesuai dengan bajet dan saiz dewan, InsyaAllah saya ajak semua pada resepsi nanti,” ujarnya.

Mengulas pilihan hatinya berusia 30-an itu, Azwan berkata, isterinya merupakan seorang penganjur acara dan mula mengenalinya selepas dijemput sebagai tetamu bagi sebuah program anjurannya.

“Kami berharap dikurniakan pasangan anak kembar, dua pasang cukuplah,” katanya.

Terdahulu, sekeping gambar memaparkan Azwan dan Evanoza memakai persalinan akad nikah turut tular di laman sosial sejak semalam.

Loading...
Terkini