Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Menggigil dan gagal menahan air mata, itu keadaan Abdul Razik Azman, 18 tahun, yang masih trauma dengan kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu, sehingga meragut nyawa adik perempuan kesayangannya.
Ketika kejadian, Abdul Razik sedang tidur,sebelum terjaga selepas terdengar suara jeritan adiknya meminta tolong kira-kira jam 4.30 petang.
“Saya cuba sedayanya mengangkat batu dinding yang runtuh untuk menyelamatkan adik (Puteri Sajidah Azman,16) yang tersepit tetapi gagal sebelum meminta bantuan penduduk,” katanya.
Ketika itu, dalam keadaan panik dia keluar dari runtuhan dan terkejut melihat rumah yang didiaminya bersama ibu dan enam adik beradik lain ranap menyembah bumi.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat adiknya (Puteri Sajidah) tersepit di bawah timbunan batu yang runtuh.
“Ketika itu, saya tidak tahu di mana seorang lagi adik perempuan iaitu Fatimah (Siti Fatimah,13) berada,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, malam tadi.
Jelasnya lagi, ketika kejadian hanya dia dan dua adik perempuannya sahaja berada dalam rumah manakala ibu dan adik beradik lain berada di luar.
Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, mayat Puteri Sajidah dan Siti Fatimah masing-masing ditemukan pada 6.32 petang dan 6.59 petang.
Seorang lagi mangsa iaitu abang kepada mangsa yang maut dikenali sebagai Uzair, 17, ditemukan dalam keadaan selamat jam 5.17 petang sebelum dibawa ke HSNZ untuk rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.