Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Adik kepada penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Noorhidayah Muhammad Salleh bersyukur urusan pengebumian jenazah abangnya Muhamad Hafiz selesai dengan baik.
Jelasnya, segala urusan melibatkan tuntutan jenazah, perjalanan dan pengebumian berjalan dengan baik meskipun tidak membuat sebarang persiapan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Memang bergerak pada Khamis malam, dengan niat nak ambil (jenazah) abang bawa balik. Tak ada niat lain. Sampai sahaja di sana, semua urusan sangat dipermudahkan. Allahuakbar.”
“Allah permudahkan segalanya. Sudah tertulis begini cara dia kembali kepada Allah, namun ramai yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir,” katanya.
Noorhidayah yang dijadualkan bernikah pada Jumaat minggu depan, tidak menyangka abangnya menepati janji untuk pulang awal namun dalam keadaan tidak bernyawa.
“Ketika sambutan Aidiladha, kami berbincang tentang majlis perkahwinan saya. Abang cakap nak balik awal. Betul, dia balik awal.”
Artikel berkaitan: Nahas Elmina: Jenazah pertama, Muhamad Hafiz dikebumikan
Beliau juga memohon orang ramai untuk berhenti menyebarkan video kejadian melibatkan abangnya itu.
“Saya memohon orang ramai mendoakan abang saya. Kepada yang memiliki video semasa kejadian, mohon jaga perasaan kami. Padam jika ada, dan hentikan penyebaran.”
Muhamad Hafiz merupakan seorang daripada 10 individu yang terkorban dalam kejadian nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, pada Khamis.
Kejadian turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.