Tumpuan :
Nasional

Abang gegas balik hadir pengebumian Azri selepas duduki SPM

Azri Aziran menyiram air ke atas pusara adiknya. -Foto: NSTP

JERANTUT: Abang kepada remaja, Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi yang ditemui lemas dalam Sungai Pahang, bergegas balik dari Gambang ke Jerantut sejurus selesai menduduki peperiksaan subjek Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk menghadiri majlis pengebumian adiknya itu, di sini, hari ini.

Azri Fahmi Bahiudin, 14, ditemui lemas pada jam 7.45 pagi tadi oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas dilaporkan tergelincir ke dalam sungai, kelmarin.

Abangnya, Azri Aziran, 17, berkata dia segera pulang ke Jerantut sebaik saja selesai menduduki dua kertas subjek Bahasa Inggeris SPM di Sekolah Sukan Pahang di Gambang, Kuantan, jam 12.45 tengah hari tadi.

“Saya akan menduduki beberapa lagi kertas SPM sebagai calon tumpang di sekolah arwah adik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin,” katanya.

Azri Aziran berkata demikian ketika ditemui selepas jenazah adiknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mat Kilau, di sini, pada jam 6.15 petang tadi.

Calon SPM itu berkata, dia pasti akan merindui arwah kerana kehilangan teman ‘bergurau dan bertengkar’ selama ini.

“Selepas dimaklumkan melalui pesanan WhatsApp pada petang Sabtu lalu mengenai kejadian menimpa arwah, saya seperti tidak percaya sehinggalah makcik saya yang tinggal di Kuantan datang menjemput saya untuk balik ke Jerantut.

“Saya reda dengan pemergian arwah adik kerana Allah SWT lebih menyayanginya. Saya juga memohon maaf bagi pihak arwah adik jika ada kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu bapa arwah, Zaiful Afindi Hashim, 43, berkata beliau sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak, termasuk agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang membantu dalam operasi SAR mangsa di Sungai Pahang.

“Saya bersyukur mayat anak berjaya ditemui, pagi tadi. Saya reda dengan pemergiannya, dan berterima kasih kepada mereka yang turut membantu menyempurnakan jenazah anak saya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini