Tumpuan :
Nasional

‘Abang Bas’ didakwa guna TikTok untuk hantar komen jelik 

BATU PAHAT: ‘Abang Bas’ sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini.

Tertuduh berusia 24 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikut tanda ‘love’ sambil memerhatinya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja, di sini, jam 11 malam, 5 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.

“Pihak pendakwaan memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar memandangkan tertuduh mempunyai dua kes yang sudah dituduh di sana, selari dengan Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan ikat jamin namun jika mahkamah membenarkannya, sebanyak RM25,000 ditawarkan kepada tertuduh berserta syarat tambahan,” hujahnya.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula bersama-sama kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Muar.

Selain itu, mahkamah mengenakan syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.

Selasa lalu, ‘Abang Bas’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Pertuduhan itu membabitkan amang seksual fizikal serta memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.

Bagaimanapun, dia juga mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan ini dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 namun gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini