![](https://media.buletintv3.my/2023/05/CMS-PPZ-36.jpg)
MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menggantikan Datuk Nur Azmi Ahmad.
Kenyataan MAFA memaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memutuskan presiden badan induk itu kini disandang Ab Rauf.
“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan menerajui persatuan dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka.
“Semoga dengan sentuhan Datuk Seri Ab Rauf akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan nama negeri Melaka gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan.
“Pihak jawatankuasa juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Datuk Nur Azmi Ahmad yang telah memimpin persatuan sejak Ogos 2022 dan mencurahkan jasa dan bakti kepada sukan bola sepak negeri Melaka.
“Antaranya penubuhan kelab bola sepak Melaka FC yang kini sedang bersaing dalam saingan Liga M3 di samping penganjuran Kejohanan Piala TYT Melaka (Governor Cup) dan juga pembangunan akar umbi.
“Segala jasa dan sumbangan beliau kepada bola sepak Melaka akan terus diabadikan dalam lipatan bola sepak negeri Melaka sebagai salah seorang presiden persatuan yang kini hampir menginjak usia satu abad penubuhannya pada 1924,” tambah kenyataan itu.