comscore
Tumpuan :
Nasional

AADK, PETRONAS meterai MoU pelaksanaan tempat kerja bebas dadah

Sutekno (kiri) bersama Adnan (kanan) menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian MoU TEKAD antara AADK dan PETRONAS di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, program pencegahan dadah di tempat kerja adalah selaras dengan Standard Antarabangsa Mengenai Pencegahan Penggunaan Dadah yang melibatkan tujuh langkah utama antaranya komitmen pengurusan atasan, polisi dan kawalan kuasa pencegahan dadah.

“Selain itu, pelaksanaan latihan untuk penyelia, program pendidikan dan kesedaran, latihan untuk penyedia program pendidikan dan kesedaran kepada pekerja, program pencegahan dadah dalam komuniti, program rawatan dan pemulihan serta integrasi semula ke dalam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sutekno menzahirkan keyakinan bahawa syarikat gergasi negara itu akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan dan pencapaian menerusi pelaksanaan program tersebut kerana ia berupaya mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat serta sejahtera.

Menurutnya secara tidak langsung, warga kerja PETRONAS dapat menjadi agen penyebaran maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan, jiran, keluarga dan komuniti keseluruhannya. – BERNAMA

Loading...
Terkini