
KUALA LUMPUR: 99 individu ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi serbuan Op Noda ke atas sebuah premis hiburan di Jalan Gelang, Off Jalan Sungai Besi, Pudu, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada 1 pagi hari ini.
Menurutnya, antara ditahan, termasuk 47 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis hiburan berkenaan.
“59 individu ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dipercayai pengurus dan penjaga premis, 10 pekerja lelaki Bangladesh, dan wanita warga asing disyaki GRO iaitu warga Thailand seramai 34 orang, Vietnam (3 orang), Myanmar (1 orang), dan Laos (9 orang) berusia 19 hingga 45 tahun.
“Pasukan serbuan turut menemui empat jenis kalungan bunga (tips) berwarna merah jambu bernilai RM100, merah (RM300), biru (RM500) dan hijau (RM1,000),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, pihaknya turut memeriksa 145 pengunjung terdiri daripada lelaki dan wanita warga asing serta tempatan berusia 20 hingga 60 tahun.
Katanya, ujian urin dijalankan ke atas 74 individu berkenaan mendapati 31 daripada mereka positif dadah iaitu 19 lelaki dan 12 wanita warga tempatan dan asing.
“Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas 74 individu terdiri daripada 50 lelaki dan 24 wanita.
“17 lelaki tempatan dan dua lelaki warga China didapati positif, manakala
sembilan wanita tempatan serta tiga warga asing, masing-masing dari Laos, Indonesia, dan Thailand juga didapati positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan sama, pihak polis turut menahan sembilan ‘bouncer’ di premis berkenaan bersabit satu laporan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Serbuan dan tangkapan di premis berkenaan kerana dipercayai menjalankan aktiviti menggaji pekerja warga asing dan salahguna pas lawatan sosial kerana bekerja sebagai GRO.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.