ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 98 klinik kesihatan premier yang daif, sudah dinaik taraf sejak tahun lalu termasuk 55 fasiliti kesihatan itu yang berubah wajah pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 45 fasiliti kesihatan lagi sudah dikenal pasti untuk dicadangkan bagi kerja naik taraf selepas ini dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menaik taraf fasiliti kesihatan primer atau klinik kesihatan yang berstatus daif di negeri Johor demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dan tahap keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan.
“Kita sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) untuk mengenal pasti fasiliti kesihatan primer yang memerlukan penambahbaikan itu.
“Sebagai contoh, Klinik Kesihatan Gelang Patah sudah menerima peruntukan bagi kerja menaik taraf dan pembaikan membabitkan kerja pembinaan klinik demam pada tahun lalu serta pembinaan ruang menunggu pesakit di kawasan pintu masuk utama dan ruang menunggu di klinik demam pada tahun ini.
“Selain itu, Klinik Kesihatan Gelang Patah turut menerima peruntukan bagi kerja naik taraf ruang pusat penilaian COVID-19 (CAC), naik taraf tandas pesakit dan pembinaan tandas orang kurang upaya (OKU) untuk pesakit,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Tian Soon (MCA-Yong Peng) berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) mengenai status dan perancangan kerajaan negeri bagi kerja menaik taraf klinik daif di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) yang bertanyakan sama ada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat kajian dan bercadang memperluas dasar supaya orang berinsurans yang berusia 60 hingga 65 tahun dapat menerima manfaat caruman, berkata Program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan kementerian itu memberi sinar baharu kepada kumpulan sasaran ditetapkan.
“Berdasarkan statistik PERKESO bagi tempoh Januari hingga 8 November lalu, seramai 836 warga emas di negeri ini mendapat pekerjaan menerusi program ini.
“Ia membabitkan 541 majikan dengan pengesyoran jumlah bayaran insentif sebanyak RM4.5 juta.
“Insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk majikan yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar ini juga diberikan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.