KUALA LUMPUR: Demi menjamin kestabilan bekalan elektrik di seluruh Semenanjung, Hampir 9,400 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) pelbagai peringkat dijadualkan bertugas pada Aidilfitri kali ini.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, berkata tugasan giliran dan tunggu sedia itu akan dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang.
Katanya, ini bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
“Ia mengambil kira tempoh kritikal 72 jam atau tiga hari bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Baharin Din, berkata pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Aidilfitri dengan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.
“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam menyempurnakan amanah dengan selamat demi keselesaan semua.
“Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum,” katanya.