Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan ke 91 pencawang elektrik di Pahang dan Johor berikutan banjir akibat hujan lebat yang berterusan.
TNB dalam kenyataan berkata, sehingga jam 6 petang tadi, 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang serta 24 lagi pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor telah dihenti tugas demi keselamatan pengguna.
Untuk Johor, daripada 24 Pencawang Elektrik yang telah dihenti tugas, 13 daripadanya telah diberikan bekalan sementara melalui set janakuasa mudah alih.
Penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.
Seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrtik setakat ini.
Bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, Bilik Gerakan TNB di negeri Johor dan Pahang telah diaktifkan hari ini untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.
Para pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.