comscore
Tumpuan :
Nasional

91 murid SK Pulau Gaya alami keracunan makanan

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan 91 murid sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini mengalami keracunan makanan.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata murid terbabit kini diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu negeri.

Berikutan insiden itu, pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.

Katanya, insiden itu mula dikesan pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

“Pihak sekolah melalui guru-guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.

“Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan di sekolah itu,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah juga bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Selain itu, katanya terdapat juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.

Katanya, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS, diikuti seramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.“Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini.

Setakat ini, katanya punca keracunan makanan masih disiasat dan belum dapat diputuskan sama ada berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini