Tumpuan :
Nasional

903 tong gas dirampas, 4 ditahan di Kulai

Sebahagian daripada 903 unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang dirampas KPDN Johor dalam satu operasi ke atas sebuah stor haram di Kulai, hari ini. – FOTO IHSAN KPDN

KULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 903 unit tong gas petroleum cecair (LPG) selepas melakukan serbuan ke atas sebuah stor haram sekitar daerah ini, hari ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, semua tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg itu disita bersama beberapa dokumen dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM80,000.

Katanya, semua tong LPG itu ditemui dalam sebuah stor haram penyimpanan LPG berkenaan.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati stor haram itu menyimpan LPG untuk tujuan aktiviti penyelewengan atau ‘decanting’ iaitu memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kg bersubsidi ke tong berkapasiti 50 kg untuk kegunaan industri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati stor itu juga gagal untuk mengemukakan dokumen permit penyimpanan atau lesen barang kawalan berjadual LPG apabila diminta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata empat lelaki warga asing yang dipercayai pekerja stor dengan semuanya berusia dalam lingkungan 30-an ditahan untuk membantu siasatan.

“Satu tindakan kes telah dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 untuk mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran LPG termasuk sumber LPG diperolehi dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kes juga akan disiasat di bawah AKB 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau permit menyimpan yang sah,” katanya.

Lilis Saslinda berkata serbuan itu dibuat hasil aduan orang awam melalui inisiatif ‘Kita Gempur’ dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini