Tumpuan :
Nasional

9,000 Polis Johor siap sedia bertugas di hari raya

JOHOR BAHRU: Dianggarkan seramai 9,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negeri ini akan bertugas pada perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua pegawai dan anggota itu termasuk di daerah akan dikerah untuk menjamin kesejahteraan negeri ini selain memberi tumpuan kepada melancarkan perjalanan aliran trafik.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memutuskan untuk meletakkan pasukan khas di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau kawasan sesuai yang akan memberi respons pantas terhadap sebarang laporan kemalangan, kes jenayah dan kesesakan lalu lintas.

“Untuk perayaan Aidilfitri ini, hanya 10 peratus sahaja daripada kekuatan Polis Johor diberikan cuti manakala selebihnya akan bertugas mengikut atur gerak yang telah ditetapkan bagi tempoh 24 jam mengikut syif.

“Bagi tindakan sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan pada waktu malam, kita akan pastikan ia tidak mengganggu aliran trafik, jika ia menyebabkan kesesakan, kita akan pindahkan SJR ke lokasi bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 2023 di sini, semalam.

Kamarul Zaman berkata, pengguna jalan raya di negeri ini khususnya di bandar raya ini diminta selalu bersabar ketika polis menempatkan setiap anggotanya di setiap persimpangan lampu isyarat untuk memastikan kelancaran aliran trafik.

“Kita turut memberikan tumpuan di kedua pintu masuk antarabangsa di Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah yang dijangka berlaku kesesakan.

“Seramai 326 anggota polis dibantu polis bantuan ditempatkan di BSI untuk membantu melancarkan pergerakan keluar masuk di Tambak Johor. Jumlah keanggotaan di KSAB pula adalah lebih rendah kerana tidak ada pergerakan orang, cuma pertambahan kenderaan sahaja.

“Saya juga telah meminta Ketua Polis Daerah supaya sentiasa mengambil maklum dan menyemak status kesesakan jalan raya secara berkala di kawasan terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini