Tumpuan :
Nasional

9,000 pegawai, anggota KL akan ditugaskan sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025

Datuk Rusdi Mohd Isa ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Dataran Perkasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Lebih 9,000 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan serta ketenteraman sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 berlangsung.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 186 mesyuarat dijangka diadakan di sekitar ibu negara pada April, Mei dan Oktober.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 21 mesyuarat akan diadakan di Putrajaya yang juga di bawah Kontinjen Kuala Lumpur.

“Jadi, sudah pastinya kita (polis) akan membuat persiapan rapi, termasuk menggunakan keseluruhan kekuatan keanggotaan untuk memastikan keselamatan delegasi serta orang ramai yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

“Jika perlu dapatkan bantuan Bukit Aman atau trafik Kuala Lumpur, kita akan lakukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran Kepengerusian ASEAN yang membabitkan delegasi dari luar negara.

Justeru, katanya, peranan pihak berkuasa itu memastikan Kuala Lumpur dilihat dalam keadaan baik dan selamat supaya tidak menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutama pengunjung serta delegasi dari luar negara.

“Selain itu, kita akan memastikan mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur berjalan dengan baik dan kelancaran trafik serta keselamatan kepada delegasi,” katanya.

Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini