Tumpuan :
Gaya Hidup

90 peratus penghidap HIV di Malaysia adalah lelaki

 

Oleh: Luqman Kamal

BERDASARKAN kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023, sebanyak 90 peratus penghidap HIV di Malaysia terdiri daripada golongan lelaki, manakala baki 10 peratus melibatkan golongan wanita.

Antara penyumbang terbesar kepada jumlah itu termasuk amalan seks tidak selamat, khususnya dalam kalangan homoseksual.

Lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM), pekerja seks dan pengguna dadah suntikan dikenal pasti sebagai kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti HIV.

HIV boleh merebak melalui beberapa cara, termasuk hubungan seksual tanpa perlindungan, perkongsian jarum atau alat suntikan, serta pemindahan darah.

Menurut data yang dikeluarkan oleh KKM pada tahun 2023, sekitar 3,200 kes baharu HIV dilaporkan dan angka itu dijangka kekal stabil pada tahun 2024.

Dari segi usia, sebanyak 44 peratus daripada kes yang dilaporkan melibatkan individu berusia 20 hingga 29 tahun.

Sementara itu, golongan berusia 30 hingga 39 tahun menyumbang sebanyak 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selangor mencatatkan jumlah penghidap HIV tertinggi dengan 1,062 kes, manakala Perlis merekodkan jumlah terendah, iaitu hanya 18 kes.

Tidak sedar dijangkiti HIV

Menurut KKM dan pelbagai kajian kesihatan awam, sekitar 50 peratus hingga 60 peratus daripada individu yang hidup dengan HIV di Malaysia tidak menyedari mereka dijangkiti.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku antaranya:

– Kurangnya gejala awal
HIV sering kali tidak menunjukkan gejala awal, menyebabkan ramai individu merasa sihat dan tidak sedar mereka dijangkiti selama bertahun-tahun.

– Kurangnya pendidikan dan kesedaran
Walaupun kempen kesedaran diadakan, ramai individu berisiko tinggi masih kurang mendapat maklumat tentang ujian HIV dan cara mencegah jangkitan.

– Stigma dan ketakutan
Stigma terhadap HIV di Malaysia menyebabkan ramai individu enggan menjalani ujian kerana takut dihakimi, menjadikan mereka tidak mengetahui status HIV mereka.

Persepsi masyarakat

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, penghidap HIV tidak lagi dipandang serong dalam kalangan masyarakat.

Bagi pekerja swasta yang dikenali sebagai Mariam, penerimaan terhadap pesakit HIV dalam masyarakat adalah perlu bagi memberi mereka meneruskan hidup seperti orang normal.

“Kita perlu menerima golongan ini memandangkan kita tidak tahu apa yang mereka lalui dan bagaimana mendapat HIV, selain kita perlu memberi mereka sokongan.

“HIV tidak berjangkit melalui aktiviti harian, jadi kenapa perlu membuang mereka ini dari masyarakat?,” katanya.

Sementara itu Ahmad yang ditemui berkata masyarakat tidak boleh menilai pesakit HIV dari luaran sahaja.

“Kita tidak boleh bersifat ‘judgemental’ terhadap mereka walaupun kita tahu mereka menghidap HIV, tidak perlu untuk menjauhkan diri sebaliknya kita perlu berhati-hati,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini